BOJAN Hodak memberi arahan kepada skuad B19 Malaysia, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Skuad muda negara tampil selaku pasukan ‘underdog’ pada Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia minggu depan.

Ia berdasarkan kedudukan paling bawah skuad negara dalam ranking dunia berbanding tiga lawan mereka dalam Kumpulan D - Arab Saudi, China dan Tajikistan.

Jurulatih negara, Bojan Hodak bagaimanapun enggan menjadikan faktor kedudukan kurang baik Harimau Malaya dalam ranking dunia sebagai halangan buat anak buahnya melakar kejutan pada kejohanan peringkat Asia.

Sebaliknya, pengendali dari Croatia itu menganggap status ‘underdog’ atau pasukan bukan pilihan membantu pemainnya bebas daripada sebarang tekanan.

“Arab Saudi di kedudukan 71 dunia, China 76, Tajikistan 120 dan Malaysia di tangga 171. Jadi secara realistik kami bukan pilihan dalam kumpulan,” kata Hodak yang mengemudi skuadnya muncul juara Kejohanan B-19 AFF, Julai lalu.

“Apa pun kami tetap fokus untuk melakar kejutan, kami tiada tekanan dan akan cuba memberi tentangan sengit kepada lawan dalam setiap perlawanan.

“Kami sudah mengharungi perlawanan (persahabatan) yang sukar dengan Qatar dan UAE yang mana pasukan ini seakan sama dengan Arab Saudi. Jadi, saya fikir kami sudah melakukan persediaan untuk perlawanan pertama kumpulan,” katanya.

Anak buah Hodak akan membuka tirai kempen menentang Arab Saudi, Sabtu ini sebelum berdepan Tajikistan (23 Oktober) dan China (26 Oktober).

Semalam, Hodak mengumumkan senarai penuh 23 pemain yang akan menjadi taruhan untuk menghadapi kejohanan itu termasuk pemain Harimau Malaya, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid.

Dua pemain itu juga menjadi watak penting ketika skuad B-19 negara menjulang trofi Kejohanan AFF selepas mengalahkan Myanmar 4-3 pada perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 6:40 PM