KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek. FOTO Saifullizan Tamadi.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih seminggu selepas kepulangan Datuk Lee Chong Wei ke tanah air selepas rawatan kanser hidung tahap pertama di Taiwan, ketua jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek mengakui masih belum bersedia bertemu anak didiknya itu.

Biarpun belum menjenguk pemain itu, Misbun berkata, beliau tetap berhubung dengan Chong Wei melalui telefon bagi mengetahui perkembangan pemain itu.

“Saya faham, kalau saya jumpa dia... mungkin nanti keadaan bertukar menjadi emosi. Saya tak nak, kalau sudah beremosi, biasanya dia akan terharu dan lebih ‘down’. Jadi biarkan dia, saya mahu beri dia ruang.

“Biasanya saya tengok Chong Wei ini, kalau dia betul-betul sudah sihat, dia lebih terbuka dan mudah didekati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (BAM), di sini hari ini.

Misbun individu penting dalam karier badminton Chong Wei sebelum menjadi jaguh perseorangan negara.

Beliau jurulatih yang mengesan bakat pemain dari Pulau Pinang itu ketika berusia 17 tahun, sebelum dilentur hingga bergelar pemain nombor satu dunia.

Justeru, mustahil beliau menjadi orang terakhir mengetahui mengenai keadaan kesihatan Chong Wei yang mengidap kanser hidung tahap awal itu.

“Saya harap walau macam mana sekalipun, sama ada dia mahu main (kembali ke gelanggang) atau tidak, saya harap dia cepat sembuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 7:43 PM