Shapawi kecewa. FOTO fail HM Digital
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Kes terbaru membabitkan penyalahgunaan bahan terlarang membabitkan dua atlet angkat berat yang beraksi pada temasya Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA) cukup mengecewakan Majlis Sukan Negara (MSN).

Biarpun banyak usaha dilakukan antaranya menggugurkan angkat berat daripada sukan teras, semuanya itu masih belum dapat menyekat atlet daripada menggunakan bahan terlarang.

Bagaimanapun Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, siasatan akan dilakukan oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mengenal pasti punca dan dari mana mereka memperoleh bahan terlarang itu.

Katanya, atlet juga diberi peluang untuk membela diri dan membuktikan mereka tidak bersalah dengan mencabar sampel B diuji.

“Apa yang boleh saya katakan memang saya kecewa kerana kami sudah mengambil pelbagai langkah antaranya menggugurkan sukan angkat berat daripada senarai sukan teras.

“Tindakan itu untuk memberi tekanan kepada penggiat angkat berat bahawa ia peperangan terhadap doping.

“Biarpun tekanan yang kuat diberikan tapi masih ada lagi kes berlaku. Ia seperti mereka tidak endahkan cabaran yang diberikan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengesahkan dua atlet terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berasal dari negeri Pantai Timur didapati positif doping ketika menyertai SUKMA Perak.

PABM sudah menghantar surat memohon penjelasan kepada atlet terbabit awal minggu ini dengan sesi pendengaran dalaman dalam tempoh terdekat akan dilakukan.

Dua atlet itu juga diarahkan supaya memulangkan pingat kepada MSN dengan segera untuk penyelarasan semula kedudukan penerima pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 4:46 PM