BOJAN HODAK
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Malaysia membuka kejohanan bawah 19 (B-19) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan langkah kiri selepas tewas 1-2 kepada Arab Saudi di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Indonesia sebentar tadi.

Berdepan Arab Saudi yang berada di kedudukan jauh lebih baik dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tiada harapan tinggi sebenarnya diletakkan ke atas bahu pemain.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang turun bukan sebagai pasukan pilihan bermula baik apabila memperoleh beberapa peluang untuk berada di depan, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Bagaimanapun, gawang skuad negara akhirnya bocor pada minit ke-24 selepas penyerang Arab Saudi, Turki Marwan Alammar yang terlepas dari perangkap ofsaid tenang menewaskan penjaga gol, Muhammad Azri Ghani.

Pujian seharusnya diberikan kepada Azri kerana berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada skuad muda Arab Saudi termasuk sepakan penalti Alammar sebelum tamat babak pertama.

Ketika anak buah Hodak cuba bangkit mencari gol penyamaan, Arab Saudi berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan kedua disumbangkan Salem Ahmed Alsaleem pada minit ke-78.

Malaysia terpaksa menunggu hingga minit ke-87 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi Hadi Fayyadh Abdul Razak, namun sudah terlambat untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan seri.

Sementara itu, Hodak pada sidang media selepas perlawanan menjelaskan anak buahnya sudah melakukan yang terbaik walaupun terpaksa akur dengan kekalahan itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, kami turun sebagai pasukan ‘underdog’. Kami berdepan Arab Saudi iaitu salah satu pasukan terbaik di Asia dan kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi.

“Saya hanya katakan kepada pemain supaya mereka mempamerkan aksi terbaik dan saya fikir mereka sudah beraksi pada tahap maksimum,” katanya.

Skuad muda negara akan terus berdepan laluan getir bagi dua lagi aksi peringkat Kumpulan D apabila berdepan Tajikistan pada Selasa ini dan China, tiga hari kemudian.

Apa yang pasti, Hodak perlu merencana strategi terbaik untuk mengelak daripada mengalami kekalahan kedua berdepan Tajikistan nanti jika tidak mahu tersingkir awal daripada kejohanan. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 7:58 PM