BOJAN ketika melihat sesi latihan anak buah. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Pemain muda negara sudah melupakan episod duka tewas 1-2 kepada Arab Saudi pada aksi pembukaan Kejohanan Bawah 19 (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia, Sabtu lalu.

Penjaga gol negara, Muhammad Azri Ghani menegaskan semua pemain perlu memberi fokus sepenuhnya bagi perlawanan kedua Kumpulan D berdepan Tajikistan di Stadium Patriot Candrabaga, Bekasi, esok.

Katanya, perlawanan dengan Tajikistan amat penting dalam menentukan nasib skuad muda negara.

“Kami cuba fokus terhadap perlawanan seterusnya dan melupakan perlawanan sebelum ini (berdepan Arab Saudi). Kami perlu lakukan yang terbaik dan meraih keputusan lebih positif.

“Saya harap kerjasama sepasukan yang lebih mantap dapat dipamerkan semua pemain ketika berdepan Tajikistan dan tidak terikut-ikut dengan corak permainan lawan.

“Itulah keadaan yang berlaku ketika menentang Arab Saudi yang menyebabkan kami melepaskan gol mudah,” katanya.

Azri beraksi cemerlang sebagai benteng terakhir skuad negara dengan menyelamatkan beberapa percubaan Arab Saudi termasuk sepakan penalti pada hujung babak pertama.

Kekalahan kepada Arab Saudi menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak kini menghuni tangga ketiga kumpulan tanpa sebarang mata.

Tajikistan pula di tangga kedua selepas mereka mengejutkan China 1-0 pada perlawanan pertama, Sabtu lalu.

Selain itu, Azri berkata, dia dan rakan sepasukan tetap bersemangat tinggi untuk berdepan Tajikistan walaupun sedar ia bukan satu tugas mudah.

“Kami akan berjuang hingga keringat terakhir dan mara sejauh mungkin dalam kejohanan ini walaupun kami dianggap sebagai pasukan bukan pilihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 5:33 PM