SKUAD negara tewas kepada China 0-2. FOTO/AFC
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Skuad muda negara terpaksa ‘pulang awal’ selepas tewas 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan D Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Pakansari, Bogor, sebentar tadi.

Ketika Arab Saudi sudahpun memberi ‘bantuan’ dengan menewaskan Tajikistan 3-1, peluang ini disia-siakan anak buah Bojan Hodak apabila mereka membenarkan China yang sebelum ini gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi terdahulu membolosi gawang skuad negara sebanyak dua kali.

Situasi ini menyaksikan skuad B-19 menghuni tangga tercorot Kumpulan D dengan satu mata, mengulangi nasib sama dengan skuad ‘adik’ yang turut menghuni tangga tercorot pada aksi Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) AFC 2018, bulan lalu.

Bagaimanapun kemenangan tetap tidak dapat membawa skuad negara mara ke suku akhir kerana jumlah perbezaan gol dengan Tajikistan yang mengesahkan tempat kedua walaupun tewas di tangan Arab Saudi.

Malaysia yang menguasai babak awal permainan, sukar menembusi pertahanan China. Memasuki pertengahan babak pertama, China mula mendapat rentak dan Malaysia bernasib baik selepas beberapa hantaran yang dilakukan ke dalam kotak penalti digagalkan penyudah kurang kemas jentera serangan lawan.

Gawang Malaysia akhirnya dibolosi pada minit ke-44 menerusi penyudah Tao Qianglong untuk gol pertama China selepas tiga perlawanan.

Bersambung babak kedua, gerakan menyerang Malaysia kerap dipatahkan anak buah Cheng Yaodong itu dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk China menambah gol pada minit ke-58 menerusi rembatan jarak jauh Yang Yilin untuk menewaskan Mohd Azri buat kali kedua.

Tamat saingan peringkat Kumpulan D, Arab Saudi merakam rekod bersih menang ketiga-tiga perlawanan untuk mengutip sembilan mata sementara Tajikistan di tempat kedua dengan empat mata.

Aksi suku akhir menyaksikan Arab Saudi bertemu Australia sementara Tajikistan berdepan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 10:33 PM