MAX VERSTAPPEN

MEXICO CITY: Max Verstappen melaungkan amaran kepada pencabar utama gelaran Formula Satu, Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel apabila mendominasi sesi latihan Grand Prix Mexico sebelum Red Bull berdepan masalah hidraulik.

Pemenang tahun lalu itu dilihat sebagai taruhan terbaik untuk muncul pemandu termuda bermula di petak utama pada sesi kelayakan awal pagi esok selepas pemandu berusia 21 tahun dari Belanda itu mempamerkan aksi mantap di litar altitud tinggi itu.

“Kami mempunyai kereta, kestabilan yang baik, cengkaman mekanikal yang mantap,” kata pelumba muda yang kelihatan tidak peduli dengan masalah dialaminya 10 minit sebelum sesi kedua berakhir.

Pendahulu yang juga penyandang juara dunia dari Mercedes, Hamilton, masih lagi mencari rentak menandingi kelajuan Verstappen dalam usaha meraih kejuaraan kelima dengan berbaki dua perlumbaan.

Manakala Vettel dari Ferrari kini 70 mata ketinggalan di belakang pemandu Britain itu, perlu menang untuk menghidupkan kembali peluang dalam usahanya menafikan peluang Hamilton bergelar juara dunia.

Verstappen mendahului rakan pasukan dari Australia, Daniel Ricciardo ketika sesi latihan yang menyaksikan Red Bull menguasai kedudukan satu-dua apabila merekod catatan terpantas sepusingan 1:16.656s pada sesi pagi dan 1:16.720s pada sesi petang.

Ricciardo 0.483s lebih perlahan pada sesi pertama dan 0.153s pada sesi kedua.

Renault yang juga pembekal enjin Red Bull adalah yang terbaik pada kedua-dua sesi itu apabila pelumba Sepanyol, Carlos Sainz menduduki tempat ketiga terpantas kedua-dua sesi.

Litar dibina pada paras 2,200 meter dari paras laut menyaksikan Mercedes dan Ferrari dilihat kurang berkuasa berbanding perlumbaan sebelum ini.

“Enjin bergelut dengan keadaan cuaca, brek dan cuaca sejuk. Kami menggunakan sayap yang sama di Monaco dan kestabilan yang sama (kelajuan tinggi) di Monza,” kata prinsipal Red Bull, Christian Horner. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 12:34 PM