PEP GUARDIOLA
Agensi

 

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyatakan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris membabitkan saingan lima penjuru selepas sembilan perlawanan.

Juara bertahan City mengungguli carta dengan 23 mata, sama mata dengan Liverpool yang belum kalah manakala Chelsea, Arsenal dan lawan City awal pagi Selasa ini, Tottenham dua mata di belakang.

Apabila ditanya sama ada ia persaingan lima penjuru untuk merebut kejuaraan, Guardiola membalas: “Saya tak ragu-ragu mengenainya.

“Hanya dua mata memisahkan antara lima atau enam pasukan. Ia sengit. Tottenham sering berada di sana.”

Pengendali dari Sepanyol itu berkata: “Musim lalu kami bertindak amat baik dalam kedua-dua perlawanan, tapi mereka pasukan ternama.”

City bertandang ke Wembley untuk menentang Tottenham sehari selepas stadium itu menganjurkan perlawanan NFL antara Jacksonville Jaguars dan Philadelphia Eagles.

Guardiola berkata, pasukannya perlu “menyesuaikan diri” dengan keadaan padang.

“Saya pasti Tottenham mempunyai seorang penyelia padang yang hebat. Harapnya mereka dapat menyediakan stadium secepat mungkin tapi kami mungkin terpaksa menerima keadaan. Tidak guna untuk merungut.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 12:54 PM