VINCHAI terbunuh susulan insiden helikopter terhempas, Sabtu lalu.
Farah Azharie

 

KUALA LUMPUR: Komuniti bola sepak tempatan menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Leicester City FC, Vichai Srivaddhanaprabha yang terbunuh susulan insiden helikopter terhempas, Sabtu lalu.

Bekas Pengerusi Queens Park Rangers, Tan Sri Tony Fernandes; pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; pasukan Liga Perdana dimiliki Malaysia, Cardiff City dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan kenyataan menerusi twitter berikutan tragedi itu.

Fernandes yang juga pemilik AirAsia, memuat naik gambarnya bersama Srivaddhanaprabha dan anaknya bersama trofi dengan kata-kata: “Berita tragik itu akhirnya keluar. Semangatnya akan terus hidup bersama anaknya yang hebat. Vichai sentiasa memberikan kita semangat untuk memiliki impian. Dia menjadikan mimpi menjadi realiti dan itu memberikan kita untuk terus memasang impian untuk sesuatu yang mustahil dan tidak pernah mengalah. Selamat tinggal kawan.”

Satu lagi pasukan Liga Perdana, Cardiff City yang dimiliki usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan menerusi Twitter: “Ingatan dan doa Cardiff City Football Club bersama rakan kami di Leicester City FC dan mereka yang terbabit dalam kemalangan malam itu.”

Sementara itu, Tunku Ismail berkata: “Ucapan takziah kepada keluarga pemilik @LCFC Vichai Srivaddhanaprabha dan keluarga yang kehilangan orang tersayang. Semoga tuhan membantu ketika tempoh yang mencabar ini.”

Kelab milik Tunku Ismail juga mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook, Johor Southern Tigers: “Kami mewakili seluruh keluarga JDT FC mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Vichai Srivaddhanaprabha, pemilik dan pengerusi Kumpulan King Power International dan pengerusi Leicester City FC. Semoga bersemadi dengan aman.”

Srivaddhanaprabha meninggal dunia berikutan insiden helikopter terhempas berdekatan tempat letak kereta di tenggara Stadium King Power sejurus berlepas kira-kira 8.20 malam Sabtu lalu.

Dia bersama pembantu dua peribadi, Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare selain juruterbang, Eric Swaffer dan pembantu Izabela Roza Lechowicz semuanya terbunuh dalam kemalangan tragik itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:07 PM