ALESSIO ROMAGNOLI
Reuters

MILAN: Pertahanan AC Milan, Alessio Romagnoli menjaringkan gol sendiri tetapi kemudiannya menjadi wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 apabila menewaskan Genoa, 2-1 dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Perlawanan seakan berkesudahan seri sehinggalah hantaran jauh Ignazio Abate ke kotak penalti ditumbuk keluar penjaga gol lawan, Ionut Radu yang keluar daripada posisinya.

Bagaimanapun, bola singgah di kaki Romagnoli dan dengan tanpa kesilapan meledak jaringan kemenangan di penjuru gawang sambil Radu hanya mampu memerhatikan.

"Saya tidak gembira dengan jaringan sendiri yang saya anggap tiada nasib tetapi puas dapat menebusnya. Pasukan ini menerima terlalu banyak kritikan, kami perlu meneruskan momentum dan pandang ke hadapan,” kata Romagnoli.

Suso memberikan gol pendahuluan buat Milan hasil rembatan jarak jauh namun kesilapan pertahanan membenarkan Genoa menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Tiemoue Bakayoko yang dipinjamkan daripada Chelsea kehilangan bola dalam kotak penalti apabila dirampas Krzysztof Piatek dan melorongkan bola kepada Christian Kouame yang melepaskan rembatan. Bola terkena kaki Romagnoli dan membias masuk.

Radu kerap menggagalkan percubaan Gonzalo Higuain, Franck Kessie dan Suso tetapi kesilapannya pada minit akhir mengundang padah.

Kemenangan kedua Milan di tempat sendiri dalam masa empat hari melegakan jurulatih Gennaro Gattuso apabila kelabnya melonjak ke tangga keempat Serie A dan slot Liga Juara Juara dengan 18 mata daripada 11 perlawanan.

"Kemenangan ini sangat penting selepas pelbagai kritikan dan kesukaran kami tempuhi,” kata Gattuso.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 8:28 AM