MORBIDELLI ketika sesi latihan bebas Motogp bersempena dengan MotoGP 2018 di Litar Sepang. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani


SEPANG: Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli masing-masing mempunyai tugas untuk merebut gelaran pelumba muka baharu terbaik dan pelumba pasukan bebas terbaik (pasukan satelit) apabila kedua-duanya bakal membawa nama pasukan sulung negara dalam kelas MotoGP, PETRONAS Yamaha Sepang Racing, musim depan.

"Untuk tahun pertama, kami kena pastikan kestabilan agar dapat mengharungi saingan dengan baik.

"Dari sudut prestasi, sudah pasti kalau dimulakan dengan Quartararo, inspirasinya adalah untuk menjadi pelumba muka baharu terbaik dan saya pasti itu yang kami mahukan.

"Dari sudut Morbidelli, kami mahu melihat dia menjadi pelumba pasukan bebas terbaik untuk musim depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali selepas majlis menandatangani kerjasama antara SIC dan Yamaha Motor, di sini semalam.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Carmelo Ezpeleta, Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya dan Ketua Kumpulan Yamaha Motor MotoGP Kouji Tsyua turut menyaksikan majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yamaha Factory Racing Lin Jarvis berkata, mereka akan membantu pasukan baharu itu dengan dua tonggak utama disenaraikan bagi membantu pengurusan yang dikemudi Johan Stigefelt.

"Kami akan cuba semaksima mungkin bagi membantu pasukan terutama pada fasa awal ini," kata Jarvis. "Sudah pasti akan ada cabaran untuk fasa awal ini, tapi mujur mereka ada Stigefelt yang berpengalaman di paddock Moto2 dan Moto3.

"Ini satu perubahan besar ke MotoGP daripada kosong. Dua daripada staf utama kami akan berpindah ke pasukan ini. Ramon Forcada yang menjadi ketua krew Maverick (Vinales) akan menjadi ketua krew Franky (Morbidelli) dan Wilco Zeelenberg pula bertindak sebagai pengurus pasukan.

"Berdasarkan pengalaman Johan, Ramon, Wilco serta sokongan penuh Yamaha, saya yakin mereka mampu melakukannya dengan baik."

Kerjasama antara Yamaha dan pasukan baharu ini akan bermula dari 2019 hingga 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 1:57 PM