PEREZ (kanan) jaring gol kemenangan Newcastle. -Foto REUTERS

NEWCASTLE UPON TYNE: Newcastle United akhirnya meraih kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris pada percubaan ke-11 musim ini selepas mengatasi Watford 1-0 di St James’ Park.

Ayoze Perez menanduk masuk sepakan percuma Ki Sung-yeung pada minit ke-65 untuk tiga mata penting yang membawa Newcastle keluar dari zon penyingkiran ke tangga ke-17.

Ia adalah gol pertama Newcastle di laman sendiri sejak kekalahan 2-1 kepada Arsenal pada 15 September.

“Saya rasa (kemenangan) ini penting buat semua orang,” kata pengendalinya, Rafa Benitez.

“Menang ke atas pasukan yang bagus dengan keyakinan tinggi, menang dengan sokongan padu semua pihak di belakang pasukan dan dengan tiga pemain simpanan memberi sumbangan besar, ia amat positif.”

Watford mengharungi permulaan yang baik di liga tertinggi Inggeris itu musim ini manakala Newcastle masih tercari-cari kemenangan pertama untuk menutup permulaan buruk mereka.

Watford mempunyai beberapa peluang membuka jaringan sebelum rehat menerusi Adrian Mariappa dan Roberto Pereyra, tetapi tersasar. Walaupun menguasai permainan, hanya satu percubaan tepat dihasilkan Watford.

Newcastle, yang kehilangan Yoshinori Muto, Jamaal Lascelles dan Jonjo Shelvey akibat kecederaan dalam perlawanan itu, tampil lebih kuat menuju ke akhir permainan. Kenedy turut membantu dalam kemenangan itu apabila dia menghalang rembatan pemain gantian Watford Andre Gray yang hampir menjadi gol penyamaan. – REUTERS

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 9:12 AM