PEMAIN Spurs perlu berjuang habis-habisan menentang PSV Eindhoven. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Terdesak mahu mengelak daripada tersingkir awal daripada saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, Tottenham kini berdepan misi hidup mati apabila bertemu PSV Eindhoven pada awal pagi Rabu.

Skuad kendalian Muricio Pochettino kini di tangga ketiga Kumpulan B selepas hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan pertama.

Tottenham akan sah tersingkir daripada saingan elit Eropah itu sekiranya tewas kepada PSV di Wembley dan Inter Milan yang berada di tangga kedua menewaskan pendahulu Barcelona. Malah seri menentang PSV juga tidak mampu menyelamatkan Spurs sekiranya Inter menang.

Ia bakal menjadi satu lagi pengakhiran buruk dalam kempen Liga Juara-Juara buat Spurs yang diletakkan harapan tinggi sebelum saingan bermula.

Selepas gagal melepasi peringkat kumpulan dua musim lalu, Tottenham melaungkan kehadiran mereka di pentas Eropah dengan kemenangan membanggakan ke atas Real Madrid di peringkat kumpulan musim lalu.

Kelab utara London itu bagaimanapun disingkirkan Juventus dalam kelompok 16 terakhir, tetapi ia tidak mematahkan semangat anak buah Pochettino untuk bangkit di babak akhir musim ini.

Kekalahan kepada Inter dan Barcelona adalah permulaan buruk buat Tottenham, dengan keputusan seri di Eindhoven menyukarkan lagi keadaan bagi kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Bagaimanapun Spurs menampilkan prestasi sebaliknya di pentas domestik apabila mengharungi permulaan paling baik dalam kancah Liga Perdana Inggeris – menduduki tangga keempat selepas kemenangan 3-2 ke atas Wolves Sabtu lalu.

"Saya amat gembira dari awal lagi. Sejak tiba di sini kami memupuk budaya yang sangat baik tentang perjuangan dan keyakinan,” kata Pochettino selepas kemenangan ke atas Wolves. “Ia menunjukkan pasukan ini mempunyai karakter yang sangat kuat.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:31 AM