ZARIF (empat dari kiri ) wakil tunggal negara bagi permainan Tekken 7. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
ZARIF (empat dari kiri ) wakil tunggal negara bagi permainan Tekken 7. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Zarif Aiman mungkin wakil tunggal negara bagi permainan Tekken 7 pada Kejuaraan Dunia IESF  di Taiwan yang bermula hari ini hingga 13 November tetapi dia tetap optimis dapat memperbaiki pencapaiannya tahun lalu.

Pemain berusia 19 tahun itu yang mara ke peringkat lapan terbaik tahun lalu berkata, dia sudah berusaha keras sejak edisi sebelum ini bagi memperbaiki kelemahan yang dikatakan menjadi punca kekalahannya.

“Sejak tahun lalu saya cuba meningkatkan permainan kerana saya banyak menjalani latihan dan fokus terhadap kelemahan dan bagaimana untuk menggunakan mata kemenangan yang penting ketika saya bertarung dengan pihak lawan.

“Pencabar utama saya adalah dari Korea Selatan kerana mereka menguasai permainan ini,” kata Zarif yang bermain menggunakan nama HXI Zaba.

Sementara itu, Setiausaha Agung eSports Malaysia, Rinie Ramli berkata tiga pasukan eSports (HXI Zaba, Team FrostFire dan Team Int Central) akan membawa nama Malaysia dengan hanya satu dijangka dapat melepasi peringkat kumpulan.

“Secara realistik layak beraksi di peringkat kumpulan sudah satu kejayaan dan melihat kepada saingan, negara lain agak kuat jadi berjaya melepasinya adalah pencapaian yang hebat,” kata Rinie.

Ketika ditemui ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara, Rinie berkata ketiga-tiga acara itu bukan kekuatan Malaysia sekali gus menyaksikan badan induk itu berharap wakil negara akan memberi persembahan terbaik.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 8:05 PM