HUGO LLORIS
AFP

LONDON: Penjaga gol, Hugo Lloris memberi amaran kepada Tottenham mereka berisiko tercicir daripada pemburuan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara jika terus mengulangi kesilapan mudah seperti ketika menundukkan Wolves.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino mendahului selesa 3-0 sehingga pertengahan babak kedua, namun nyaris dimalukan sebelum mencatat kemenangan 3-2 di Molineux, Sabtu lalu.

Erik Lamela, Lucas Moura dan Harry Kane meletakkan Spurs di depan sebelum pemain yang membuat kemunculan sulung, Juan Foyth menghadiahkan dua penalti, masing-masing disempurnakan oleh Ruben Neves dan Raul Jimenez.

Insiden itu mengundang keresahan Lloris yang pantas memberi amaran supaya ia segera diperbaiki selepas pernah kehilangan kelebihan ketika bertemu Inter Milan dan PSV, dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

“Kita perlu belajar,” katanya. “Ia bukan kali pertama ia berlaku apabila kami membenarkan lawan mencipta peluang di hujung permainan.

“Ia antara bahagian yang perlu dipertingkatkan. Malah, ia menjadi tanggungjawab kami sebagai pemain. 

“Sudah tentu pengurus mempunyai jangkaan dan cuba mengarahkan kami daripada segi taktikal, tetapi daripada segi emosi dan perasaan bukanlah di bawah kawalannya.

“Jika terpaksa bermain dengan cara lain, kami perlu melakukannya. Kami boleh mengawal permainan dengan cara yang berbeza. Pada kedudukan 3-0, kami tidak perlu terus menyerang. Ia adalah mengenai komunikasi dan mentaliti.”

Lloris dikenakan hukuman penggantungan untuk aksi Awal Pagi Rabu ini menentang PSV, manakala status Mousa Dembele masih belum pasti selepas dilihat terhincut keluar akibat kecederaan lutut di Molineux.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 8:31 PM