LUCIANO SPALLETTI
AFP

MILAN: Jurulatih Inter Milan, Luciano Spalletti menegaskan Barcelona masih ‘berbahaya’ sekali pun tanpa kelibat Lionel Messi menjelang pertembungan Liga Juara-Juara membabitkan dua kelab berkenaan, awal pagi Rabu ini.

Bintang Argentina, Messi boleh kembali beraksi lebih awal daripada yang dijadualkan menentang Inter di San Siro selepas mengalami kecederaan bahu pada 20 Oktober lalu.

Begitupun, sepanjang ketiadaannya, kelab Catalan itu masih menghasilkan persembahan menakjubkan.

“Messi adalah penambah baik. Dia adalah apa yang kanak-kanak impikan untuk menjadi pemain bola sepak,” kata  Spalletti.

“Tetapi Barcelona sudah membuktikan sekali pun tanpa kelibatnya, mereka masih mempunyai mentaliti untuk memperbaiki permainan, yang mana ia menjadi perbezaan.

“Satu kebimbangan buat semua orang jika Messi bermain, tetapi sikapnya tidak berubah. Kami berdepan salah satu kelab paling kuat di dunia. 

“Kami perlu menjadi lebih baik dalam menilai permainan, tetapi kami akan mengawal ruang, bukannya orang.”

Barcelona ketika ini menghuni tangga teratas Kumpulan B selepas mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan dan mereka turut menewaskan Inter 2-0 di gelanggang sendiri.

Keputusan seri di San Siro akan menjamin tempat buat kelab gergasi Sepanyol itu di peringkat 16 terbaik manakala kemenangan akan mengesahkan kedudukan teratas berbaki dua perlawanan.

Inter pula memerlukan kemenangan untuk mara dalam kumpulan yang turut diisi kelab Inggeris,  Tottenham dan PSV Eindhoven.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:35 PM