KEISUKE HONDA
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Jurulatih Kemboja Felix Gonzalez percaya ketiadaan pengurus pasukan Keisuke Honda pada aksi pertama Kumpulan A Piala AFF bertemu Malaysia di Stadium Olimpik Phnom Penh, malam esok tidak akan menjejaskan moral pemain.

Honda, bekas bintang Jepun mencetuskan fenomena baharu kepada bola sepak negara itu apabila dilantik sebagai pengurus pasukan, Ogos lalu di mana kehadirannya di tepi padang membangkitkan semangat pemain dan penyokong meskipun tewas 1-3 kepada Malaysia pada aksi persahabatan 10 September lalu.

Namun, Gonzalez menjelaskan Honda yang masih beraksi dengan kelab Liga Australia Melbourne Victory tetap memainkan peranan penting dalam persediaan pasukan biarpun tidak bersama pasukan pada saat genting ini.

"Beliau (Honda) tidak akan bersama pasukan pada perlawanan pertama ini, memang Keisuke Honda penting kepada pasukan, tapi beliau masih membantu dan kami saling berhubung. Beliau tahu apa yang berlaku dalam pasukan.

"Memang agak berbeza tanpanya kali ini tapi saya tak fikir ia akan menjejaskan kami," katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan hari ini.

Kemboja yang gagal melepasi halangan peringkat Kumpulan B pada edisi 2016 membuat persiapan lebih rapi kali ini termasuk mengadakan dua lagi aksi persahabatan ketika seri 2-2 dengan Timor Leste dan kalah 1-2 di tangan Singapura Oktober lalu.

Gonzalez percaya 23 pemain yang dibariskan kali ini adalah yang terbaik termasuk kehadiran pemain import Terengganu, Thierry Chantha Bin serta Chan Vathanaka, Prak Mony Udom dan Keo Sokhpeng yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia.

"Kami mengadakan latihan yang rapi dan kami tidak sabar untuk beraksi di laman sendiri, kami berharap semua penyokong akan hadir memberikan sokongan.

"Kami memiliki beberapa pemain yang bermain di Malaysia, iaitu liga tahap tinggi, saya tidak tahu sama ada ia akan beri kelebihan kepada pasukan atau tidak, cuma saya berharap mereka dapat membantu pasukan," kata jurulatih dari Argentina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:44 PM