PENERJUN senior negara, Ooi Tze Liang. FOTO Osman Adnan
Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Baru sebulan kembali menjalani latihan, penerjun senior negara, Ooi Tze Liang berharap persiapan singkat itu tidak akan menjejaskan terjunannya pada Grand Prix Terjun FINA yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur bermula esok.

"Memang persiapan kali ini sangat singkat disebabkan selepas habis Sukan Asia pada awal September lalu kami diberi cuti satu bulan.

"Ketika cuti itu kami dapat berehat dan menjalani pemulihan selepas jadual pertandingan yang padat sebelum ini," kata penerjun berumur 24 tahun itu.

Tze Liang menjadi satu-satunya wakil penerjun senior dan bakal mengetuai barisan penerjun muda lain yang ditampilkan pada Grand Prix kali ini.

Selain acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki yang dijadual berlangsung esok, Tze Liang bakal bergandingan dengan Syafiq Puteh bagi menyertai acara 3m papan anjal seirama lelaki yang  berlangsung pada Sabtu.

"Pada kali ini saya akan cuba membuat yang terbaik memandangkan kita ada kelebihan sebagai tuan rumah. Kami sudah biasa dengan venue kerana sering berlatih di sini.

"Saya tidak ada meletakkan sasaran khusus namun saya akan cuba melakukan terjunan terbaik," katanya.

Grand Prix Terjun FINA akan berlangsung selama tiga hari bermula esok dengan skuad negara yang menurunkan majoriti penerjun pelapis bakal berdepan dengan saingan sengit penerjun China.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 10:28 PM