PEMAIN Spurs meraikan gol tunggal perlawanan. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Juan Foyth melupakan mimpi ngeri penampilan sulung Liga Perdana Inggeris sebelum menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 buat Tottenham Hotspur di Crystal Palace, awal pagi tadi.

Seminggu selepas pertahanan Argentina berusia 20 tahun itu menghadiahkan lawan dua sepakan penalti ketika menang 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers, dia muncul wira apabila menanduk masuk bola muntah pada minit ke-66 sekali gus menyaksikan Spurs merakam kemenangan ketujuh berturut-turut dalam liga ke atas Palace.

“Babak pertama sukar tapi apa yang paling penting kami menang,” kata Foyth.

“Saya fikir dua sepakan penalti yang saya berikan menentang Wolves, saya perlu belajar daripadanya. Saya bekerja keras dalam latihan tapi dua penalti ini membantu saya dari segi pengalaman.”

Pengurus Mauricio Pochettino gembira dengan persembahan Foyth selepas memberikan kepercayaan kepada pertahanan tengah itu di sebalik permulaan buruknya.

“Ia mengagumkan buat Foyth,” katanya. “Persembahannya hari ini amat menakjubkan. Dia bermain terlalu bagus. Dia perlu belajar dan terus meningkat tapi dia prospek yang bagus buat kami.”

Petanda tidak bagus buat Palace sebelum sepak mula apabila Wilfried Zaha, tanpanya mereka jarang menang, diketepikannya kerana kecederaan hamstring.

Spurs turut berdepan kecederaan apabila Kieran Trippier dilihat cedera di paha pada awal saingan dan digantikan oleh Serge Aurier, yang mencetus saat terbaik pada babak pertama dengan hantaran silang berbahaya yang gagal disempurnakan Dele Alli dan Lucas.

Spurs meningkatkan tempo pada babak kedua sekalipun mereka tidak banyak mencipta peluang selain gol kemenangan Foyth dan mengalami satu lagi kecederaan apabila Erik Lamela meninggalkan padang berdarah selepas secara tidak sengaja mukanya disepak.

Palace patut menyamakan kedudukan pada masa kecederaan apabila Alexander Sorloth menemui ruang dalam kawasan penalti tetapi hanya mampu merembat tepat ke arah penjaga gol Hugo Lloris.

Kekalahan itu bermakna Palace mengalami permulaan buruk di halaman sendiri dalam tempoh 21 tahun, dengan hanya perbezaan gol meletakkan mereka di luar zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 8:32 AM