Dr Khairi Zawi. FOTO HM DIGITAL
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi memohon supaya kontraknya dipendekkan ke penghujung bulan ini.

Perkembangan itu disahkan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali dengan Khairi sudah memaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya boleh sahkan surat itu dihantar minggu lalu dengan beliau mohon untuk kontrak dipendekkan sehingga 30 November ini. 

"Ia adalah menjadi (hak) pertimbangan menteri untuk menerimanya atau membuat ketetapan lain yang saya jangka akan dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya selepas menghadiri Kem Bakat Badminton KBS 2018, sebentar tadi.

Lokman Hakim menolak tanggapan tindakan Khairi itu adalah susulan wujud cadangan untuk menggabungkan ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Tiada alasan diberikan Khairi berkaitan penggabungan itu. Malah tidak berkaitan mengenai prestasi program di bawah kendalian ISN, namun alasannya adalah mahu kembali ke sebuah pusat pengajian tinggi (tempat kerja lamanya)," jelasnya.

Khairi dilantik sebagai CEO pada 15 Januari 2015 dan kontraknya dijadual berakhir pada Januari tahun depan.

"Jika satu ketetapan sudah dibuat, kita akan mencari pengganti secara terbuka dan merit sama ada tempatan atau luar negara," tambahnya.

ISN dibayangi pelbagai isu sejak kebelakangan ini termasuk pengguguran tiga atlet menembak negara dari Program Podium, selain kegagalan mencapai sasaran kedudukan 10 terbaik di Sukan Komanwel dan Asia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 4:21 PM