TZE Yong mara pusingan kedua selepas menewaskan Saran Jamsri dari Thailand. FOTO/NSTP
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Kecuali Yap Roy King yang tersingkir pada pusingan pertama, semua pemain muda negara terutama kategori lelaki bermula cemerlang dalam saingan individu Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, awal pagi tadi.

Pemain ranking ke-51 dunia, Ng Tze Yong mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain ranking ke-27, Saran Jamsri dari Thailand 18-21, 21-13, 21-18 dalam tempoh 74 minit.

Pemain profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin turut cemerlang apabila melepasi pusingan pertama dengan menewaskan Ko Shing Hei dari Hong Kong 21-17, 19-21, 21-14.

Tze Yong akan menentang pemain Norway, Jonas Osthassel pada pusingan kedua manakala Aidil bertemu Adam Pringle dari Scotland.

“Saya amat gembira Tze Yong mara. Dia berdepan perlawanan pertama yang cukup sukar.

“Saran sangat konsisten dalam saingan antarabangsa dan pernah menewaskan pemain kebangsaan, Lim Chi Wing dan Leong Jun Hao.

“Saya percaya Tze Yong tidak berdepan kesukaran untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik,” kata ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng.

Pemain perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan dan beregu campuran, Chia Wei Jie-Toh Ee Wei serta Choong Hong Jian-Pearly Tan turut mara ke pusingan kedua.

Bekas juara perseorangan wanita, Goh Jin Wei mendapat bye pada pusingan pertama dan akan bertemu Sania Lima dari Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 8:31 PM