SANTIAGO SOLARI
Reuters

MADRID: Juara Eropah, Real Madrid melantik Santiago Solari selaku jurulatih pasukan utama dengan kontrak sehingga Jun 2021, umum kelab itu menerusi satu kenyataan awal pagi tadi.

Jurulatih berusia 42 tahun dari Argentina itu mengetuai pasukan mencatat empat kemenangan daripada empat perlawanan sejak menjadi pemangku bekas pengurus Sepanyol yang dipecat, Julen Lopetegui dua minggu lalu.

Solari melalui tempoh permulaan terbaik sebagai jurulatih dalam sejarah kelab berkenaan dan pelantikannya sebagai pengurus tetap diluluskan Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) Isnin lalu.

Dia bermain buat Real dari 2000 hingga 2005 pada era Galacticos bersama Zinedine Zidane yang menjadi jurulatih kelab dan menang tiga gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut sebelum meletak jawatan.

Solari mengetuai pasukan simpanan Real sejak 2016 hingga dia menggantikan Lopetegui bulan lalu selepas kelab melalui persembahan buruk termasuk kekalahan 5-1 dalam El Clasico kepda Barcelona.

Dia mencipta kemenangan mengatasi Melilla 4-0 pada Copa del Rey, Viktoria Plzen (5-0) dalam saingan Liga Juara-Juara termasuk Real Valladolid (2-0) dan Celta Vigo (4-2) pada saingan La Liga sekali gus permulaan terbaik bagi pengurus baru dalam sejarah Real.

Lopetegui dipecat selepas Madrid menjunam ke tangga kesembilan dalam kedudukan domestik.

Bagaimanapun selepas kemenangan 4-2 Ahad lalu di Celta, kelab berkenaan melonjak ke tangga keenam, empat mata di belakang pendahulu, Barca.

Solari memulakan aksi profesional dengan menyertai River Plate pada 1996 sebelum meninggalkan negaranya pada 1999 untuk beraksi bersama Atletico Madrid dan Real Madrid yang menyaksikan dia menjulang tujuh kejuaraan dalam lima musim di antara 2000-05.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 7:42 AM