NIKI LAUDA
Reuters

BRIXWORTH, England: Mercedes memberi penghormatan kepada pengerusi bukan eksekutif Niki Lauda yang sedang dalam pemulihan awal pagi tadi ketika juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton menyertai kakitangan kilang meraikan gelaran berganda kelima berturut-turut dalam kategori pengeluar dan pemandu.

Hamilton, rakan sepasukan Valtteri Bottas dan bos Mercedes F1 memakai topi merah, sama seperti selalu digunakan Lauda, sebagai ucapan terima kasih kepada warga Austria itu yang menjalani pembedahan paru-paru pada Ogos.

Ketua pasukan, Toto Wolff memberitahu dia mahu melihat Lauda, 69, kembali untuk penamat musim di Grand Prix Abu Dhabi tetapi ia bergantung kepada nasihat perubatan.

“Saya akan berjumpanya pada Jumaat dan saya gembira pulang dengan kejuaraan ini kerana dia adalah sebahagian pasukan ini,” katanya. “Kerana itu kami memakai topi merah hari ini. Jika dia boleh melakukannya (ke Abu Dhabi), ia hebat. Namun saya memang menantikan peluang untuk berkongsi penerbangan ke Australia tahun depan.”

Musim depan bermula di Australia pada 17 Mac. Wolff berkata dia bercakap dengan juara dunia tiga kali dan pemegang saham pasukan sejurus selepas Mercedes menang kejuaraan pengeluar di Brazil pada Ahad untuk kali kelima berturut-turut.

Kejayaan itu menyamai gelaran berganda Ferrari dari 1999-2004.

“Saya menghubunginya dan dia berkata: ‘Terima kasih banyak dan saya merindui anda’,” kata Wolff. “Dia sedih (tidak berada di Brazil) tetapi saya juga mendengar daripada rakan bahawa mereka meraikannya di hospital hingga 11 malam dan saya rasa dia juga meraikan saat itu.”

Lauda meninggalkan hospital pada penghujung Oktober dan kini dalam proses pemulihan di klinik.

Hamilton berkata dia kerap menghubungi Lauda yang memainkan peranan penting ketika perpindahan pemandu Britain itu dari McLaren ke Mercedes pada penghujung 2012.

“Dia bertarung untuk kembali cergas. Ia bukanlah perjalanan pendek untuk pulih buatnya tetapi dia berazam tinggi untuk kembali dan berada di dalam pesawat dan memulakan kembali apa yang amat disukainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:57 AM