MARCO REUS
Reuters

BERLIN: Pemain sayap Jerman Marco Reus tidak dapat diturunkan pada aksi persahabatan menentang Russia hari ini akibat kecederaan kaki dan diragui untuk perlawanan Liga Negara-Negara menentang Belanda minggu depan, kata pengendali Jerman Joachim Loew.

 

Pemain sayap Borussia Dortmund itu mengharungi musim cemerlang buat pasukannya yang kini mendahului Bundesliga dan masih belum tewas, selepas menjaringkan lapan gol dan membuat umpanan untuk empat gol dalam 11 perlawanan setakat ini.

Tetapi Loew berkata Reus hanya cedera ringan di kaki ketika kemenangan 3-2 Dortmund ke atas Bayern Munich Sabtu lalu.

“Marco Reus tidak dapat beraksi (menentang Russia),” kat Loew. “Dia tiba dengan kecederaan kaki daripada perlawanan menentang Bayern.”

Jerman dilihat cuba menamatkan saingan tahun ini dengan nada positif selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia dan kempen sulung Liga Negara-Negara yang menyaksikan mereka menghuni tangga terakhir Kumpulan 1 Liga A.

Menurut Loew proses membina semula pasukan sedang berjalan tetapi ia tidak akan berlaku semalaman atau tanpa beberapa pemain berpengalaman.

“Membina pasukan baharu bukan sesuatu yang terjadi begitu saja. Ia adalah satu proses. Fasa pembinaan semula sudah bermula dan proses itu berterusan,” katanya.  

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 11:57 AM