NAFIIZWAN ADNAN
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki dan wanita negara mengalami nasib berbeza pada aksi pembukaan Terbuka Hong Kong yang menawarkan hadiah kemenangan AS$164,500 (RM689,000) hari ini.

Dua pemain lelaki negara Nafiizwan Adnan dan Ng Eain Yow mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.

Pemain berpengalaman Nafiizwan menundukkan pemain tuan rumah Henry Leung 11-8, 11-9, 11-8 untuk menempah pertemuan pusingan kedua dengan pilihan ketujuh dari Mesir, Mohamed Abouelghar esok.

Eain Yow mengalami sedikit kesukaran untuk mengatasi Ben Coleman dari England sebelum menang 11-7, 11-3, 11-5. Dia akan berdepan seorang lagi pemain England, Joshua Masters untuk merebut tempat ke pusingan ketiga esok.

Pemain berusia 20 tahun itu yang kini menduduki ranking ke-45 dunia gembira dengan persembahannya.

“Saya tidak tertekan dan hanya fokus untuk bermain dengan baik,” kata Eain Yow ketika dihubungi hari ini.

“Saya bermain baik untuk menang dan saya gembira kerana berjaya ke pusingan seterusnya. Saya harap dapat meneruskan rentak ini esok.”

Pemain wanita S Sivasangari dan Low Wee Wern bagaimanapun ditunjukkan jalan keluar selepas masing-masing tewas kepada pemain Mesir.

Wee Wern yang bertanding buat kali pertama dalam kejohanan utama PSA sejak berehat selama 20 bulan kerana kecederaan tumpas 9-11, 14-12, 4-11, 7-11 di tangan Zeina Mickawy.

Sivasangari turut mengalami kekalahan 1-3 kepada Hania El Hammam 9-11, 12-10, 7-11, 8-11.

Legenda skuasy negara Datuk Nicol David yang mendapat bye pada pusingan pertama akan memulakan kempen menentang Mille Tomlinson dari England, Rabu ini.

Millie mengalahkan pemain Mesir, Nada Abbas 11-7, 3-11, 11-7, 11-8 pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:55 PM