YUSRI kekal bersama Kelantan. FOTO/NSTP
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, sudah menandatangani kontrak baharu untuk membimbing pasukan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, hasil perbincangan pada pada 12 November lalu, jurulatih kelahiran Perlis itu bersetuju menyambung kontrak setahun lagi sehingga 2019.

"Hasil pertemuan dengan Yusri memberikan keputusan positif memandangkan kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali ke Liga Super musim 2020.

“KAFA secara rasmi bersetuju melantik Yusri sebagai ketua jurulatih Kelantan musim depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengesahan itu sekali gus menamatkan pelbagai persoalan mengenai pendirian bekas jurulatih FELCRA FC itu untuk terus mengemudi skuad The Red Warriors (TRW).

Bibi Ramjani berkata, KAFA menyerahkan sepenuhnya mandat kepada Yusri menentukan pemain tempatan dan import yang bakal menggalas cabaran dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Untuk rekod, Yusri diberikan kepercayaan sebagai jurulatih TRW selepas dua jurulatih import pasukan itu - Sathit Bensoh (Thailand) dipecat dan Fajr Ibrahim (Syria) melepaskan jawatan masing-masing pada awal dan pertengahan musim ini .

“KAFA menetapkan sasaran untuk berada di kelompok teratas liga untuk melayakkan TRW kembali bersaing semula ke Liga Super,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 1:26 PM