COSTA terlepas aksi jumpa Barca. FOTO/AGENSI
AFP

MADRID: Penyerang Atletico Madrid Diego Costa kembali menjalani latihan tetapi pemain pertahanan Diego Godin bakal terlepas pertembungan kelab teratas La Liga menentang Barcelona hujung minggu ini.

Bekas penyerang Chelsea, Costa mengalami kecederaan kaki yang memaksanya terlepas aksi Sepanyol menentang Croatia dan Bosnia tetapi foto laman sesawang kelab menunjukkan dia kembali berlatih.

Bintang Uruguay, Godin pula menghadapi masalah kecederaan paha dan pemain yang memiliki 124 kap antarabangsa itu terlepas aksi persahabatan menentang Brazil dan Perancis.

"Saya tahu apa yang saya ada, saya tahu diri sendiri, tahu tubuh saya dan ada koyakan yang memerlukan beberapa minggu, 20 hari atau sebulan untuk sembuh,” kata Godin.

Pertahanan kiri Lucas Hernandez cergas untuk beraksi dalam pertembungan di antara pendahulu Barca dengan Atletico yang menduduki tempat ketiga tetapi pertahanan tengah Jose Maria Gimenez belum pasti menentang juara La Liga itu.

Jurulatih Diego Simeone pula pening memilih barisan kesebelasan dengan pertahanan dari Montenegro, Stefan Savi turut mengalami kecederaan betis.

Simeone mengakui dia mungkin terpaksa memanggil pemain remaja skuad Atletico B, Francisco Montero atau memindahkan Saul Niguez dari posisi asal ke bahagian tengah.

"Ada kemungkinan Montero bermain dan Saul mungkin beraksi di bahagian tengah seperti dalam beberapa aksi sebelum ini,” kata pengendali dari Argentina itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:42 AM