YUSRI sasar kelompok teratas liga. FOTO/NSTP
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menyasarkan skuad kendaliannya berada dalam kelompok teratas liga dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Yusri yang juga bekas pemain kebangsaan dan Perlis mengakui perlu berkerja keras membentuk pasukan mantap terutama bersaing merebut kedudukan kedua teratas bagi melayakkan Kelantan kembali beraksi ke Liga Super.

"Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menyasarkan kembali ke Liga Super musim 2020.

"Di sebalik gembira apabila kontrak saya dilanjutkan setahun lagi sehingga 2019 selaku ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), saya akui ia cukup mencabar berdepan pasukan berpengalaman dalam saingan Liga Perdana.

"Saya jangkakan 90 peratus pemain yang beraksi musim ini kekal termasuk import dari Brazil,Cassio Fransisco De Jesus dan sebahagiannya menyaksikan barisan pemain muda masih menjadi nadi pasukan musim depan.

"Saya juga dikhabarkan beberapa pemain seperti penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin dan Ahmad Haziq Puad bakal berhijrah ke pasukan lain namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk mencari pengganti yang sesuai kelak.

"Kekosongan posisi tengah dan penyerang bakal diisi pemain baharu bagi menggantikan pemain import dari Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duishobekov dan Cristiano Santos (Brazil).

"Namun, saya optimis kepercayaan diberi pengurusan KAFA turut membantu saya membentuk skuad terbaik untuk bersaing dengan pasukan dibarisi pemain yang jauh lebih bagus dan berpengalaman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, beliau yang pernah mengendalikan FELCRA FC turut mengharapkan sokongan padu daripada pengurusan, staf kejurulatihan dan pemain.

Katanya, latihan bakal bermula pada awal Disember ini untuk mempersiapkan pasukan dengan memberi tumpuan aspek kecergasan pemain yang berehat panjang selepas berakhir saingan Piala Malaysia.

Semalam, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengumumkan kontrak Yusri dilanjutkan sehingga 2019 selaku ketua jurulatih pasukan itu.

Musim ini, Yusri bertindak sebagai pemangku penolong jurulatih dan membantu TRW muncul naib juara kumpulan C saingan Piala Malaysia, sekali gus layak beraksi di suku akhir namun tewas kepada Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 1:38 PM