PEMAIN Chelsea Olivier Giroud ledak gol tunggal. FOTO/REUTERS
Reuters

LONDON: Tottenham Hotspur memadam harapan Chelsea untuk mara ke Liga Juara-Juara musim lalu dengan kemenangan 3-1 di Stamford Bridge dan semalam mereka mencatat kemenangan meyakinkan dengan jaringan sama di Wembley.

Spurs yang beberapa musim sebelum ini sentiasa tumpas kepada pasukan jiran itu mempamerkan prestasi terbaik mereka musim ini tatkala gandingan tengah Mousa Dembele dan Eric Dier sentiasa memberikan tekanan buat pasukan pelawat.

Berbeza pula dengan Chelsea, ini adalah aksi terburuk sejak Maurizio Sarri mengambil alih pasukan tahun ini dan rekod 12 perlawanan tanpa kalah mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akhirnya lebur.

Spurs berjaya memintas Chelsea untuk kedudukan ketiga dalam carta liga dan Arsenal akan kurang satu mata di belakang Chelsea untuk kedudukan tempat keempat kelayakan Liga Juara-Juara jika mereka berjaya menumpaskan Bournemouth hari ini.

Aksi semalam menyaksikan Spurs mempamerkan semangat tinggi sejak sepak mula, sekali gus berjaya menyekat pergerakan perancang Chelsea, Jorginho dan penyerang Belgium, Eden Hazard selepas mereka mendahului 2-0 dalam tempoh 16 minit melalui jaringan Dele Alli dan Harry Kane.

Chelsea berjaya mengelak kekalahan lebih teruk jika tidak kerana kecemerlangan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga dan penyudah tumpul Spurs.

Harapan Chelsea untuk bangkit pada separuh masa kedua dilenyapkan dengan gerakan individu menarik pemain sayap Korea Selatan, Son Heung Min yang berlari dari tengah padang memintas Jorginho dan memperdayakan David Luiz sebelum melepaskan rembatan menumpaskan Arrizabalaga.

Sarri memberi amaran sebelum perlawanan bahawa permulaan cemerlang Chelsea musim ini bakal berdepan risiko berikutan masalah pemain kurang fokus.

"Saya sudah sedar bahawa kita mempunyai banyak masalah untuk diselesaikan dan saya rasa hari ini semua orang sudah nampak dengan jelas.

"Saya memberitahu kepada pemain dua minggu lalu kita berdepan masalah besar berdasarkan pendekatan kita ambil untuk sesuatu perlawanan dan hari ini kita berdepan masalah sama," kata Sarri.

Sarri mengakui bahawa masalah utama dalam pasukan mereka ialah cara bertahan dan kuran efektik di bahagian serangan, sehingga memaksanya mengeluarkan Alvaro Morata dan mengubah kedudukan Hazard.

Jurulatih Spurs, Mauricio Pochettino berkata, beliau mahukan kemenangan itu dijadikan sebagai contoh bagi baki saingan musim ini.

"Perwatakan dan kemahuan mereka sangat luar biasa. Cabaran buat mereka sekarang ini ialah untuk mengekalkan tahap permainan seperti itu."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:58 AM