ALBON bersama pasukan Red Bull. FOTO/AGENSI
ALBON bersama pasukan Red Bull. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Alexander Albon bakal menjadi rakyat Thailand pertama beraksi dalam era moden Formula Satu (F1), selepas pasukan milik Red Bull, Toro Rosso mengumumkan mereka menandatangani pemandu muda kelahiran British itu bagi saingan musim depan.

Pemandu berusia 22 tahun yang bakal bergandingan bersama Daniil Kvyat (Russia) dalam barisan baharu pasukan musim depan, menamatkan saingan Kejuaraan Formula Dua (F2) di tangga ketiga keseluruhan.

Dia dikatakan bakal beraksi bersama Nissan untuk Siri Formula E.

Sebelum ini, seorang lagi rakyat Thailand yang beraksi dalam F1 adalah Birabongse Bhanuban atau lebih dikenali sebagai 'Prince Bira'.

Dia pernah menyertai 18 Grand Prix (GP) pada tahun 1950 hingga 1954 dengan keputusan terbaik pada kedudukan keempat keseluruhan.

Pengesahan pasukan mengenai Albon itu secara tidak langsung menyaksikan pemandu New Zealand, Brendon Hartley - pemenang di Kejuaraan 24 Jam Le Mans dan juara endurance dunia - disingkirkan daripada pasukan.

Rakan sepasukan Hartley dari Perancis, Pierre Gasly diangkat ke pasukan utama, Red Bull Racing.

Prinsipal pasukan, Franz Tost berkata, Albon - yang digugurkan daripada program pemandu muda Red Bull pada 2012 sudah menunjukkan kematangan dan berkemampuan untuk beraksi di saingan F1.

"Dia memenangi empat perlumbaan dan menamatkan kejuaraan di tangga ketiga.

“Kemampuan serta caranya memintas seterunya dalam perlumbaan menunjukkan yang dia sudah bersedia dan matang untuk berlumba dalam Formula Satu," katanya.

Albon juga mampu menjadi 'duta' kepada jenama minuman bertenaga Red Bull, yang berasal dari Thailand - di mana Chaleo Yoovidhya adalah pengasas bersama syarikat dengan Dietrich Mateschitz dari Austria.

Sementara itu Albon berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya kerana itu adalah impiannya.

"Sepanjang karier dalam 'single seater', saya mengalami naik dan turun. Saya digugurkan oleh Red Bull pada 2012, jadi daripada situ saya tahu laluan ke Formula Satu akan menjadi lebih sukar," katanya.

"Saya berusaha gigih dan cuba menunjukkan kemampuan setiap kali memandu dan saya harus berterima kasih kepada Red Bull dan (penasihat sukan permotoran mereka) Dr (Helmut) Marko kerana mempercayai dan memberikan peluang kedua ini."

Toro Rosso yang dikuasakan enjin Honda menamatkan saingan musim 2018 ditangga kesembilan.

Info: Barisan pemandu F1 2019

MERCEDES - Lewis Hamilton (Britain) Valtteri Bottas (Finland)

FERRARI - Sebastian Vettel (Jerman) Charles Leclerc (Monaco)

RED BULL - Max Verstappen (Belanda) Pierre Gasly (Perancis)

RENAULT - Nico Hulkenberg (Jerman) Daniel Ricciardo (Australia)

HAAS - Kevin Magnussen (Denmark) Romain Grosjean (Perancis)

MCLAREN - Carlos Sainz (Sepanyol) Lando Norris (Britain)

FORCE INDIA - Sergio Perez (Mexico) Lance Stroll (Kanada)

SAUBER - Kimi Raikkonen (Finland) Antonio Giovinazzi (Itali) *belum disahkan

TORO ROSSO - Daniil Kvyat (Russia) Alexander Albon (Thailand)

WILLIAMS - George Russell (Britain) Robert Kubica (Poland)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 2:39 PM