FAIZAL (kiri) pada sidang media di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN), Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya.
Shaarani Ismail


IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menolak jika namanya dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang baharu pada kongres luar biasa (EGM), 6 Disember ini.

Beliau sedia menerima dengan baik apa yang sudah diputuskan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) PAFA sebelum ini berhubung cadangan itu dan mahu Perak meneruskan momentum kejayaan mereka.

“Apa yang dibuat mestilah untuk memastikan momentum dapat dikekalkan dan kami boleh memberi tentangan hebat serta tunjukkan kualiti bola sepak di peringkat antarabangsa termasuk di ACL (Liga Juara-Juara Asia), ini hajat saya.

“Jika mereka fikir saya sesuai, kalau mahukan saya ketuai PAFA, saya akan beri segala darah dan keringat untuk memastikan bola sepak Perak berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Faizal berkata, cadangan untuk melantiknya sebagai Presiden PAFA dibuat mungkin disebabkan kapasitinya sebagai Menteri Besar.

Malam kelmarin, Exco PAFA dilaporkan bersetuju dengan permintaan ahli gabungan yang mahu Faizal menjadi presiden persatuan itu.

Pemangku Presiden, Datuk Yadzan Mohammad dilaporkan berkata, sehubungan itu PAFA akan mengadakan EGM pada 6 Disember ini bagi membolehkan pelantikan Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:01 PM