JEAN TODT
Agensi

BERLIN: Bekas bos Formula Satu (F1) Ferrari, Jean Todt hampir mengalirkan air mata ketika berbicara mengenai hubungan rapatnya dengan pelumba legenda pasukan itu, Michael Schumacher.

Todt yang juga bekas Prinsipal pasukan Ferrari, tampak cukup beremosi apabila bercerita mengenai hubungan baiknya dengan Schumacher ketika menerima Anugerah Sepanjang Hayat oleh majalah permotoran Jerman, Auto Bild.

Schumacher yang menikmati kejayaan besar di Ferrari ketika Todt mengetuai pasukan itu berdepan kecederaan kepala serius yang mengancam nyawanya berikutan insiden luncur salji pada 2013 ketika sedang bercuti dengan anak lelakinya di Meribel.

Legenda berusia 49 tahun itu meneruskan proses rawatan di kediamannya di Switzerland, dengan kemas kini mengenai perkembangannya jarang didedahkan.

Hanya rakan rapat dan keluarga dibenarkan untuk melawatnya.

Ketika menerima anugerah berkenaan, Todt berkata: “Gambarnya saya gantung di seluruh pelosok pejabat dan apartmen saya. Masa saya dengan Michael akan sentiasa dikenang sebagai yang terbaik dalam hidup saya.

“Kami menyayangi satu sama lain kerana kami menulis cerita menakjubkan bersama-sama. Dan kerana kami juga sentiasa bersama ketika tempoh sukar.”

Todt yang menerima anugerah berkenaan berikutan  tugas dilakukannya sebagai Pengarah Sukan Peugeot, Prisipal Pasukan Ferrari dan Presiden Persekutuan Automobil Antarbangsa (FIA) melawat Schumacher di kediamannya di bandar Gland, Switzerland yang mengadap Tasik Geneva paling kurang dua kali sebulan.

Awal tahun ini, ‘keluarga rapat’ legenda Jerman itu memberitahu perkembangan terkini mengenai keadaannya di majalah Paris Match.

“Apabila kamu meletakkannya di atas kerusi roda berdepan pemandangan pergunungan yang indah serta tasik, Michael kadang-kala menangis.”

Peguam Schumacher, Felix Damm pada 2016 mengesahkan pelumba itu ‘tidak boleh berjalan.’

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:11 AM