(DARI Kiri) Mauricio dos Santos Nascimento dan Aaron Niguez. FOTO Facebook Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) memperkenalkan dua import baharu bagi memantapkan bahagian tengah dan pertahanan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Biarpun pengumuman kedua-dua tonggak baharu itu sudah diumumkan sebelum ini, kehadiran Aaron Niguez dan Mauricio dos Santos Nascimento di Pusat Latihan Padang Seri Gelam akhirnya menamatkan penantian penyokong JDT sejak ia dimaklumkan Oktober lalu.  

Perkembangan itu diumumkan menerusi laman sosial Johor Southern Tigers, hari ini.

"Kami ingin mengucapkan selamat datang kepada pemain luar negara baharu JDT iaitu Aaron Niguez dari Sepanyol," kata kenyataan itu yang turut mengucapkan selamat datang kepada Mauricio dari Brazil.

Sebelum ini, pada 23 Oktober lalu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan kehadiran Mauricio bagi menggantikan Marcos Antonio yang sudah bersama skuad Harimau Selatan itu selama empat musim.

Tunku Ismail berkata, JDT memerlukan pemain pertahanan ampuh dan lebih dinamik, agresif dan bijak kerana kelab itu akan beraksi di saingan ACL.

Bulan lalu, Aaron menjadi pemain kedua yang dibawa masuk oleh bekas juara Piala AFC 2015 itu untuk digandingkan bersama Gonzalo Cabrera, Natxo Insa, Safawi Rasid dan Hariss Harun di jentera tengah.

Sebagai rekod, sebahagian besar kariernya di Sepanyol menyaksikan dia beraksi buat Real Oviedo, Tenerife, Elche, Almeria, Recreativo de Huelva dan Celta Vigo selain pernah beraksi di luar negara seperti di Greece dan Scotland.

Aaron, 29, adalah produk program pembangunan Valencia dan membuat penampilan pertamanya dalam pasukan utama pada Disember 2006 menentang kelab dari Itali, AS Roma dalam kempen Liga Juara-Juara.

Dia turut beraksi pada Kejuaraan Eropah bersama pasukan Bawah 17 tahun (B-17), B-19 dan B-21 Sepanyol dengan kejayaan terbesar membantu B-19 memenangi Kejuaraan Eropah pada 2007 selepas menewaskan Greece 1-0.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 6:26 PM