MOURINHO akan menurunkan Pogba dalam kesebelasan utama aski UCL. FOTO/AFP
MOURINHO akan menurunkan Pogba dalam kesebelasan utama aski UCL. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER, England: Jose Mourinho akan menurunkan Paul Pogba dalam kesebelasan utama Manchester United bagi aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Valencia pertengahan minggu depan, mencabar pemain kebangsaan Perancis itu membuktikan potensinya serta meraih tempat semula dalam pasukan.

Pengurus United itu mengetepikan Pogba daripada kesebelasan utama buat kali kedua minggu ini ketika pasukannya merakam kemenangan terbesar dalam tempoh 13 bulan, 4-1 ke atas pasukan tercorot Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Namun ketiadaan Pogba kekal isu panas buat Mourinho yang merungut mengenai kegagalannya bersaing dengan Manchester City dan Chelsea dalam pasaran perpindahan tetapi beliau meninggalkan pemain termahal kelab itu di bangku simpanan.

“Dia perlu beraksi dengan mentaliti sama seperti pasukan bermain,” kata Mourinho apabila ditanya bagaimana Pogba boleh memenangi semula tempatnya.

“Paul boleh menjadi pemain yang menakjubkan. Dia mempunyai potensi untuk menjadi pemain cemerlang dan menentang Valencia (awal pagi Khamis ini) dia akan bermula.

“Menentang Valencia dia berpeluang untuk mempamerkan aksi bola sepak mengagumkan dan menunjukkan kepada setiap orang betapa bagusnya dia.”

Ketika ketiadaan Pogba, United melakukan permulaan mengagumkan dengan tiga gol pada babak pertama.

Ashley Young (minit ke-13), Juan Mata (m-28), Romelu Lukaku (m-42) dan Marcus Rashford (m-82) memastikan kemenangan United menentang Fulham yang terpaksa beraksi 10 pemain apabila Andre-Frank Zambo Anguissa dibuang padang.

Fulham membalas satu gol menerusi penalti Aboubakar Kamara pada minit ke-67.

“Satu keputusan yang bagus, persembahan individu, Lukaku dan Rashford - tidak menjaringkan gol dalam tempoh yang agak lama, malah gol itu amat bermakna buat mereka,” kata Mourinho.

“Semangat dan keazaman pasukan terserlah di sana untuk menang dan memberikan segala-galanya. Apabila anda sudah memberikan segala-galanya tiada siapa boleh menuding jari kepada anda.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 9:48 AM