PIYA kini menyarung jersi pasukan Perlis. FOTO Arkib NSTP

BEKAS ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi mendakwa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih belum melunaskan tunggakan gajinya ketika beraksi bersama pasukan itu, musim ini.

Mohd Badri atau Piya berkata, dia kecewa dengan sikap membisu bekas majikan berhubung tunggakan gaji yang masih belum diterimanya walaupun hanya beraksi pada awal musim.

Menurutnya, dia berhak membuat tuntutan itu memandangkan kontrak bersama 'The Red Warriors’ (TRW) tamat pada hujung November lalu tanpa diberikan peluang beraksi sejak pertengahan musim ini.

“Kali terakhir saya menerima bayaran pada April lalu selepas dipinggirkan daripada TRW," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Badri, yang sah beraksi bersama Perlis musim depan berkata, berikutan itu beliau terpaksa mengikat 'perut' hampir tujuh bulan menunggu pembayaran gaji daripada persatuan itu.

“Sebagai pemain saya ingin menuntut hak itu kerana saya mempunyai komitmen kewangan yang tinggi yang perlu dibayar.

“Apa yang membuat saya kecewa, KAFA hanya sekali memanggil untuk berbincang mengenai perkara itu, namun selepas itu tiada lagi usaha yang dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik sehingga ke hari ini,” katanya. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:01 PM