PENGURUS Everton, Marco Silva. FOTO Reuters
AFP

LIVERPOOL: Marco Silva tersenyum puas ketika menentang bekas kelabnya, Watford, apabila pemain pertahanan Everton, Lucas Digne menyamakan kedudukan 2-2 dalam pertembungan penuh dramatik di Goodison Park, pagi tadi.

Pengurus Everton itu (Silva) berdepan Watford buat pertama kali sejak tiba dari Vicarage Road pada Januari lalu dan menyaksikan Digne meledak jaringan penyelamat menerusi sepakan percuma pada penghujung perlawanan.

Pengendali berusia 41 tahun ini dipecat oleh Watford selepas hanya mengemudi kelab kurang setahun, selepas pemilik kelab menyalahkan Everton kerana menunjukkan minat ke atas jurulatih dari Portugis berkenaan.

Sebagai tanda protes dengan mendakwa Everton tidak memiliki rasa hormat, peminat Watford yang berkunjung ke Goodison Park melakukan gerakan atau ‘chants’ seperti ular, untuk memerli tindakan Silva.

Dalam aksi pagi tadi, Richarlison yang dibeli Silva dari Watford meletakkan tuan rumah di depan pada aksi babak pertama.

Bagaimanapun, jaringan sendiri Seamus Coleman membolehkan Watford menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bermula dan Abdoulaye Doucoure meletakkan pelawat di depan menerusi tandukan.

Everton berpeluang mengikat kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun Gylfi Sigurdsson yang ditugaskan mengambil sepakan gagal menjaringkan gol apabila percubaannya diselamatkan Ben Foster.

Ketika saingan berbaki enam minit, Digne muncul selaku penyelamat Everton apabila melakukan sepakan percuma yang menarik untuk gol penyamaan, sekaligus menafikan impian besar Watford untuk memalukan Silva.

Sejak dipecat Watford dengan cara yang dianggap kejam dan mula mengambil alih tugas di Everton pada Mei lalu, Silva menegaskan beliau langsung tidak mempedulikan nilai sentimental apabila berdepan bekas kelabnya.

Sehingga kini, Watford masih menunggu Liga Perdana menyelesaikan aduan mengenai tindakan Everton mendapatkan Silva melalui cara yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 8:15 AM