ABU BAKAR FADZIM
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya harus kekal fokus dan berdisiplin hingga ke wisel penamat bagi memastikan misi untuk tidak dibolosi tercapai apabila turun berdepan Vietnam dalam aksi final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Menurut pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, kesilapan yang dipamerkan barisan pertahanan negara terutama ketika tewas 0-2 kepada Vietnam di peringkat Kumpulan A sebelum ini mesti dielakkan.

“Jangan terlalu ghairah untuk menyerang. Kita tahu pemain Vietnam cukup pantas dan mereka mampu menghukum kita menerusi serangan balas,” katanya kepada Sukan NSTP.

“Format timbal balik ini menyebabkan kita kena jaga-jaga jangan dibolosi kerana peraturan gol di tempat lawan akan diambil kira. Jadi pemain harus sentiasa fokus dan berdisiplin sepanjang 90 minit.

“Saya yakin dengan keupayaan Cheng Hoe selaku jurulatih dan aksi menarik pasti berlaku kerana masing-masing mahu mendapatkan kelebihan selesa sebelum aksi kedua nanti,” kata bekas pemain Perak itu.

Nada sama turut diluahkan pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin yang menganggap serangan balas skuad Naga Emas cukup bahaya menerusi pergerakan dua penyerang mereka, Nguyen Ahn Duc dan Nguyen Cong Phuong yang mampu menjadi duri dalam daging buat skuad negara.

“Vietnam akan tunggu kita serang. Malaysia harus waspada serangan balas mereka. Jangan terperangkap dengan strategi mereka dan Malaysia harus rancang dengan tenang untuk tembusi benteng pertahanan lawan.

“Kita boleh menang dengan syarat bahagian pertahananan perlu lebih disiplin tanpa melakukan terjahan atau kekasaran di depan mahupun dalam kota penalti,” kata Sulaiman.

Harimau Malaya kini pada landasan terbaik untuk menamatkan penantian selama lapan tahun menjulang Piala AFF selepas memenanginya biat pertama kali pada 2010 lalu.

Selepas aksi pertama di Bukit Jalil, skuad negara akan bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik kedua di Stadium Nasional My Dihn pada Sabtu ini.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 4:28 PM