PENG Soon-Liu Ying menewaskan pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-14, 21-12 dalam tempoh 37 minit. FOTO/NSTP
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kembali menghidupkan peluang bagi melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF selepas melakar kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan B di Guangzhou, China, sebentar tadi.

Seperti diramal, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-14, 21-12 dalam tempoh 37 minit.

Semalam, Peng Soon-Liu Ying memulakan kempen pada kejohanan akhir musim itu dengan langkah kiri apabila tumbang di tangan pasangan nombor dua dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping 20-22, 13-21.

Situasi itu menyaksikan mereka kini wajib menang ke atas pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam aksi terakhir kumpulan, esok, namun nasib mereka untuk ke separuh akhir turut bergantung di tangan Hafiz-Gloria.

Ini kerana, Peng Soon-Liu Ying perlu berharap Hafiz-Gloria yang menang dalam aksi pembukaan ke atas Watanabe-Arisa tewas di tangan Yilyu-Dongping pada aksi terakhir mereka.

Yilyu-Dongping sudah pun mengesahkan kemaraan ke kelompok empat terbaik selepas menang dua perlawanan pertama kumpulan dengan menewaskan Peng Soon-Liu Ying serta Watanabe-Arisa.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:45 PM