Akmal harap Sumareh dimasukkan pada 30 minit terakhir. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur : Bekas penyerang Harimau Malaya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mencadangkan tonggak sayap negara, Mohamadou Sumareh hanya dibawa masuk pada baki 30 minit terakhir dalam aksi final kedua Piala AFF menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.

Akmal, 37, yang juga bekas penyerang kelab RC Strasbourg di liga utama Perancis itu berkata, perubahan strategi berkenaan penting bagi mengelirukan pertahanan Vietnam yang sudah bersiap sedia untuk merantai pergerakan Sumareh.

"Kalau tengok pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil, permainan kita sudah baik sebenarnya. Cuma sedikit kelalaian di bahagian tengah menyaksikan Vietnam berjaya menghukum kita dengan serangan pantas.

"Tapi kalau boleh perlawanan di Hanoi nanti, saya harap Tan Cheng Hoe dapat turunkan Akhyar Rashid dan Safawi Rasid dulu. Lepas 30 minit terakhir baru kita masukkan Sumareh kerana tempoh itu mungkin pertahanan Vietnam sudah kepenatan.

"Di situlah kita boleh gunakan kepantasan dan skil individu Sumareh untuk menewaskan pertahanan lawan, sekali gus cuba menjaringkan gol atau mencipta jaringan buat rakan sepasukan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya berdepan laluan berliku untuk mengulangi pencapaian 2010 dengan menjulang trofi Piala AFF buat kali kedua selepas terikat 2-2 dalam aksi final pertama di Bukit Jalil, pada Selasa lalu.

Menerusi peraturan gol di tempat lawan, skuad kendalian Park Hang Seo dilihat memiliki peluang cerah untuk menjulang trofi berkenaan dengan hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan di Hanoi.

Justeru, anak buah Cheng Hoe tiada pilihan lain selain mesti menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk menamatkan perlawanan dengan agregat 3-2 memihak Malaysia.

"Pada saya tidak ada yang mustahil dalam bola sepak. Jika pemain fokus dan kekal disiplin, saya percaya kemenangan boleh dicapai dan ia sudah dibuktikan ketika mereka menentang Thailand (separuh akhir kedua) di Bangkok.

"Saya harap pemain akan beraksi seperti biasa dan ikut perancangan jurulatih. Insya-Allah kemenangan akan mengiringi kita," katanya yang pernah membuat penampilan Piala Tiger (nama kejohanan dulu) pada 2002 dan membantu Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 4:17 PM