Safee akui kurang yakin dengan kemampuan Perlis kerana bergelut dengan tunggakan gaji. FOTO NSTP/ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: ‘Taring’ Singa Utara yang baharu, Safee Sali mengakui dia kurang yakin dengan kemampuan pasukan Perlis apatah lagi selepas pasukan itu bergelut dengan masalah tunggakan gaji.

Bagaimanapun, bekas penggempur Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui ‘termakan pujukan’ terhadap tawaran yang diberikan selepas melihat kesungguhan pengurusan pasukan itu khususnya visi yang dimiliki Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad.

“Saya faham mengenai situasi Perlis yang berdepan tunggakan gaji yang banyak. Memang saya takut pada mulanya untuk menerima tawaran Perlis.

“Namun, selepas berbincang dan mendengar penjelasan daripada Presiden PFA (Datuk Ahmad Amizal) yang memberi jaminan bahawa pengurusan 2019 jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan pengurusan terdahulu, saya menjadi yakin untuk bekerjasama dengannya.

“Lagipun, beliau masih muda tetapi memiliki visi untuk merancakkan lagi bola sepak Perlis. Jadi, inilah yang membuatkan saya tertarik dengan pasukan Perlis,” katanya selepas majlis memperkenalkannya sebagai pemain baharu Perlis di sini, sebentar tadi.

Penyerang berusia 34 tahun itu menyertai beberapa lagi nama besar yang turut bersama Perlis bagi musim 2019 seperti Badhri Radzi, Khyril Muhymeen Zambri dan Amiridzwan Taj.

Mengulas lanjut mengenai sasarannya musim depan, Safee mengakui misinya adalah untuk kembali meletakkan Perlis dalam peta bola sepak negara.

“Saya tidak sabar untuk menantikan Stadium Kangar yang sebelum ini sunyi sepi kembali gamat dengan sorakan penyokong pada musim depan.

“Saya juga ada sasaran peribadi iaitu untuk meledak sekurang kurangnya 10 gol bersama Perlis. Meskipun akan beraksi dalam Liga Perdana tetapi saya optimis dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 4:16 PM