Mourinho berdepan tekanan selepas tewas kepada Liverpool. FOTO REUTERS
Mourinho berdepan tekanan selepas tewas kepada Liverpool. FOTO REUTERS
Agensi

LONDON: Kekalahan 1-3 kepada Liverpool meletakkan Manchester United kini jatuh ke musim terburuk mereka dengan tekanan berganda sedang menyelubungi pengendalinya, Jose Mourinho.

Mourinho semakin tertekan dengan ramai yang tertanya-tanya adakah beliau mampu untuk mempertahankan kedudukannya sehingga akhir musim?

Sportsmail, hari ini menyenaraikan beberapa persoalan utama yang sedang bermain di sekitar kem United dan seluruh peminat Red Devils.

Antara persoalan paling banyak ditanyakan ketika ini adalah mampukah Mourinho bertahan hingga selepas sambutan Krismas?

Perkara itu sebenarnya bergantung kepada keputusan beberapa perlawanan selepas ini - jika beliau masih diberi peluang.

Apa yang pasti, United sedang memantau keadaan selain melihat cadangan jangka pendek selepas skuad itu berada pada tahap kritikal.

Keluarga Glazer - pengerusi bersama Joel Glazer khususnya dilihat menjadi antara individu yang akan mempengaruhi segala keputusan mengenai masa depan Mourinho dan United.

Beliau sedang berbincang dengan naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward mengenai situasi pada Isnin (semalam) dan akan menilai keputusan akhir.

Timbul juga persoalan mengenai siapa yang bakal menggantikan Mourinho jika jodoh pengendali dari Portugal itu bersama United terlerai?

Bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane dilihat menjadi calon pilihan dan beliau tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas menjulang tiga kejuaraan Liga Juara-Juara bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Mauricio Pochettino juga berada dalam senarai pilihan terbaik, namun United sedar ia amat sukar untuk memujuk jurulatih dari Argentina itu meninggalkan Tottenham pada pertengahan musim ini.

Secara teorinya, United mungkin tidak memecat Mourinho dalam masa terdekat dengan berbaki separuh kempen Liga Perdana ditambah pula akan berdepan Paris Saint-Germain dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Jadi, Mourinho kemungkinan dikekalkan hingga hujung musim dengan dia sebenarnya sudah berada dalam situasi sama musim lalu tetapi berjaya mencipta kebangkitan buat United.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 4:26 PM