SON terpaksa bersama skuad Korea Selatan dalam saingan Piala Asia. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino terpaksa akur kehilangan penyerang berbisanya, Son Heung-min berikutan tugasan bersama skuad kebangsaan Korea Selatan di Piala Asia, bulan depan.

Son sudah menjaringkan lima gol dalam tiga penampilan terakhirnya bersama Spurs yang mendaki ke tangga kedua Liga Perdana selepas membelasah Everton 6-2 dan menewaskan Bournemouth 5-0.

Pemain tinggi lampai itu terlepas permulaan musim berikutan komitmennya bersama Korea Selatan dalam kempen Sukan Asia tetapi kejayaan membawa pulang pingat emas menyaksikannya terlepas daripada tugasan wajib ketenteraan.

Dia begitupun tidak beraksi bersama skuad kebangsaan pada November dan Spurs dengan pantas melihat perubahan prestasi Son yang meledak gol pertamanya dalam saingan Liga Perdana menentang Chelsea pada 24 November lalu.

“Apa yang boleh saya katakan, Sonny melakukan kerja yang menakjubkan untuk pasukan,” kata Pochettino. “Selepas November, dia mendapat rehat dan cuba untuk mendapatkan semula prestasi terbaiknya dan saya lihat dia melakukannya dengan cukup baik.

“Dia bermula dengan cemerlang menentang Chelsea dan sehingga kini, persembahannya cukup baik untuk pasukan.

“Saya berharap dia boleh mengekalkan tahap itu, tetapi kamu juga tahu dalam beberapa minggu lagi dia akan berjauhan dengan Tottenham kerana dia mempunyai tanggungjawab dengan pasukan kebangsaan untuk bermain di Dubai di Piala Asia.”

Spurs begitupun berjaya membuat tawaran dengan Korea Selatan yang Son akan kekal di England sehingga pertembungan dengan Manchester United pada 13 Januari.

Tetapi dia akan terlepas dua aksi perlawanan pembukaan Piala Asia menentang Filipina dan Kyrgyzstan sebelum menyertai pasukan kebangsaan sebelum menentang China pada 16 Januari.

Jika Korea Selatan mara ke final, Son akan terlepas aksi Liga Perdana menentang Fulham, Watford dan Newcastle selain perlawanan kedua separuh akhir Piala Liga menentang Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 12:53 AM