Yuta akan beraksi menentang Terengganu. FOTO Ihsan KAFA
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bakal menurunkan pemain import baharu dari Jepun, Yuta Suzuki dalam perlawanan persahabatan pertama pra-musim menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, 5 Januari depan.

Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata perlawanan itu penting dalam menguji tahap keserasian pemain tempatan dan import sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Yuta bakal digandingkan dengan pemain muda daripada skuad Piala Presiden musim lalu yang menunjukkan peningkatan untuk diberi tanggungjawab membarisi skuad The Red Warriors (TRW),” kata Bibi yang mengekalkan 80 peratus daripada barisan pemain muda berkenaan.

"Pertemuan berdepan TFC adalah aksi pertama persahabatan buat pasukan sebelum meneruskan aksi kedua menentang Kedah di tempat lawan pada 9 Januari depan."

Menurutnya dalam perlawanan itu juga TRW akan mencuba sekurang-kurangnya lima pemain import, termasuk seorang dari Brazil bagi mengisi posisi serangan pasukan.

"Saya berharap pertemuan berdepan skuad Penyu berupaya menguji tahap keserasian beberapa pemain baharu seperti Fauzi Roslan, Saufi Mohammad dan Abdul Arif Abdullah," katanya.

Dalam perkembagan lain, KAFA juga turut mengumumkan Mohamad Amirul Shafik Che Soh sebagai pemain terkini menandatangani kontrak setahun bersama TRW hari ini. Bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team (2017) dan MPKB- BRI FC (2018) bakal mengisi jentera tengah pasukan. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 9:23 PM