AKHYAR masih mempunyai baki kontrak bersama Kedah. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tetap berkeras mahu mengheret isu perebutan pemain mudanya, Akhyar Rashid dan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya bersedia untuk melancarkan tabung khas bagi mengumpul sumbangan orang ramai khususnya penyokong skuad Helang Merah yang jelas tidak bersetuju dengan tindakan JDT menggunakan 'pintu belakang' untuk mendapatkan Akhyar.

Katanya, biarpun ada laporan media yang menyiarkan pandangan peguam sukan tempatan mengenai peluang tipis KFA sekiranya membawa kes berkenaan ke pengetahuan FIFA dan CAS, Asmirul tetap konsisten dan yakin KFA berada di pihak benar.

"Saya ucapkan terima kasih kepada peguam di luar sana yang mengambil berat tentang kemelut yang melanda KFA berhubung isu Akhyar. KFA ada barisan peguam sendiri untuk membawa kes ini ke FIFA atau CAS kerana kami ada asas kukuh untuk mengheretnya dan kami tetap konsisten dengan keputusan itu," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

"Jika kosnya mahal, kami akan lancarkan tabung khas seperti Tabung Harapan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat untuk membantu meringankan beban kewangan kerajaan.

"Saya yakin itu tidak menjadi masalah, seorang seringgit pun jadilah. Syarikat pun banyak yang nak bantu sebab kerana kita mahu mendedahkan wujudnya kelompong dalam sistem bola sepak kita supaya diketahui umum dan akhirnya dapat diperbaiki.

"Soal kalah atau menang perkara kedua. Perkara paling utama ialah soal integriti dan telus dalam menguruskan hal-hal berkaitan bola sepak. Perlu diingat, bola sepak bukan milik mana-mana individu, tetapi ia adalah milik rakyat dan harus dikembalikan kepada rakyat," katanya.

Akhyar, 19, sebelum ini mencetuskan sensasi apabila 'drama' perpindahannya ke skuad Harimau Selatan berpanjangan selepas KFA mendakwa JDT cuba 'mencuri' pemain itu menerusi rundingan belakang tanpa pengetahuan skuad Helang Merah.

Hubungan kedua-dua pasukan itu bertambah 'panas' apabila JDT bertindakmengumumkan kehadiran Akhyar sebagai pemain baharu kelab berkenaan menerusi klip video pendek berdurasi 35 saat pada Sabtu lalu.

Susulan tindakan JDT itu, hasrat KFA yang mahu berbincang secara baik bagi mencari titik noktah mengenai isu Akhyar, akhirnya dibatalkan dengan Kedah tetap akan mengheret isu ini ke pengetahuan FIFA.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 6:06 PM