B Sathianathan. FOTO arkib NSTP
Firdaus Hashim


ENGGAN menerima janji kosong, B Sathianathan mendesak bekas majikannya, FELDA United untuk menetapkan tarikh sebenar untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji  pemain dan pegawai pasukan itu.

Menurut pengendali Selangor itu, kegagalan beberapa pasukan seperti Kuantan FA, Pulau Pinang dan Kelantan melunaskan gaji tertunggak kepada pemain masing-masing mungkin boleh berlaku kepada anggota skuad The Fighters meskipun isu berkenaan sudah dipanjangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Malah, perkara yang lebih mengecewakan Sathianathan adalah tiadanya sebarang rundingan bersama pemain dan pegawai pasukan untuk membincangkan kaedah penyelesaian sekali gus menafikan kenyataan FELDA United yang kononnya sudah melakukan perbincangan.

"Mana ada (bincang dengan pemain dan pegawai), tipulah. Kali terakhir saya jumpa pengurusan pasukan awal bulan 11 lalu, itu pun pasal mesyuarat berkenaan perubahan tangga gaji pasukan untuk musim depan dan bukan hal berkaitan tunggakan gaji.

"Jadi saya, mahu FELDA jangan janji tanpa bagi tahu tempoh sebenar bila nak selesaikan. Jangan bayar untuk sebulan saja, lepas itu hilang empat hingga lima bulan, kemudian baharu nak bayar lagi.

"Sebelum ini pun saya dah banyak kali hubungi mereka, tapi mereka asyik berdolak dalih kata macam-macam. Saya mahu mereka panggil saya dan pemain, dan terangkan bagaimana perancangan mereka untuk selesaikan.

"Ini tidak, pergi jumpa FAM dan tak panggil kami sekali buat apa. Yang bermasalah tak ada duit ialah pemain dan jurulatih, sepatutnya kamilah yang kena bagi persetujuan sama ada terima cara pembayaran yang dicadangkan atau tidak," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Menerusi kenyataan Presiden FELDA United, Datuk Ab Ghani Mohd Ali semalam, hasil pertemuan dengan Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor pada 28 Disember lalu, pihak pengurusan komited untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Malah, pihaknya meminta supaya diberikan sedikit masa sebelum ia mula dibayar kepada semua pemain ketika majoriti anggota skuad juara Liga Perdana musim lalu itu sudah berhijrah ke pasukan lain.

"Dah banyak kes berlaku. Janji nak bayar, siap bawa ke FAM, tapi akhirnya tak ada pun hingga FAM terpaksa menolak geran pasukan dan itu akan memakan masa.

"Kalau pemain yang dah ada pasukan tak mengapalah, mungkin boleh tunggu geran yang akan dipotong oleh FAM. Tapi isunya, macam mana dengan pemain yang tak ada pasukan, kasihan mereka.

"Kalau nak tahu, saya terpaksa keluarkan duit sendiri untuk bantu pemain yang mengadu nak beli susu anak, bayar duit kereta dan macam-macam lagi. Jadi saya desak, supaya FELDA beri hitam putih bila nak selesaikan tunggakan dan jangan sekadar cakap manis di mulut saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 5:50 PM