Luis Santo pemain import kelima sertai JDT. FOTO Yahoo Sports
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Bekas penjaring terbanyak Liga Thailand, Diogo Luis Santo melengkapkan kuota pemain import kelima juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Berita Santo menyertai skuad Harimau Selatan disahkan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab itu, JOHOR Southern Tigers hari ini.

Prest menjelaskan JDT yang juga juara Liga Super lima kali berturut-turut tertarik terhadap penyerang itu ketika perlawanan persahabatan dengan bekas pasukan Santo, Buriram United pada 2017.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan faktor kos menjadi penghalang utama JDT untuk mendapatkan pemain berusia 31 tahun berkenaan pada waktu itu.

"Sejak dari itu (2017), kami memantau prestasi pemain berasal dari Brazil ini. Dia memainkan peranan penting dalam kejayaan Buriram di Liga Thailand 2018 dan mempunyai rekod jaringan gol yang baik di Thailand serta memenangi dua anugerah Kasut Emas dalam tempoh empat tahun.

"JDT percaya Diogo akan menjadi satu tambahan yang baik untuk skuad menjelang kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) pertama kami dan usaha mempertahankan kejuaraan Liga Super. Dia juga sesuai dengan gaya bola sepak yang ingin dimainkan JDT.

"Kehadiran Diogo melengkapkan kuota pemain import selepas JDT juga menandatangani bintang tengah Sepanyol, Aaron Niguez dan pertahanan tengah Argentina, Mauricio dos Santos selain mengekalkan kapten, Hariss Harun dan Gonzalo Cabrera," kata Prest.

Santo yang mewakili Buriram United sejak 2015 hingga 2018 dijangka mampu memperkuatkan jentera serangan JDT terutama mengharungi saingan ACL.

Malah, JDT menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut yang dimenangi mereka sejak 2014.

Menerusi kenyataan sama, Prest turut mengesahkan Harimau Selatan bakal mengadakan perlawanan pramusim di Bangkok sebagai persiapan untuk musim 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 3:49 PM