Giannou disenarai lewat untuk skuad Australia. FOTO REUTERS
Agensi

DUBAI: Penyenaraian lewat penyerang berpangkalan di Eropah, Apostolos Giannou bersama skuad Australia dalam pemburuan mempertahankan kejuaraan Piala Asia amat dialu-alukan jurulatihnya, Graham Arnold.

Australia yang juga penyandang juara terpaksa membuat pertukaran di saat akhir selepas penyerangnya, Martin Boyle mengalami kecederaan lutut dan digantikan dengan Giannou yang beraksi bersama kelab Cyprus, AEK Larnaca.

Giannou, 28, adalah penyerang utama AEK Larnaca yang berpengalaman beraksi dalam kempen Liga Europa 2018 dan dilihat memiliki kemampuan yang cukup untuk disenaraikan Socceroos ketika aksi menentang Jordan, esok.

“Apostolos bermain secara kerap di Cyprus bersama kelabnya, selain di Liga Europa sepanjang 2018,” kata Arnold. “Dia datang dengan tekad untuk menarik perhatian dan mengambil sepenuhnya peluang ini.”

Giannou dalam pada itu berkata dia sudah bersedia untuk memberikan segala-galanya dalam kejohanan benua itu.

“Saya akan memberikan segala yang termampu untuk menarik perhatian ketika latihan dan beraksi dalam perlawanan di sini. Kami memiliki skuad yang hebat dengan budaya menarik dan saya percaya kami boleh mencapai sasaran kami dalam kejohanan ini.”

Australia yang diletakkan antara pilihan juara diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jordan, Palestin dan Syria dan dianggap tidak bermasalah untuk melepasi peringkat kumpulan.

Info

Piala Asia edisi 2015 

Tuan rumah: Australia

Juara: Australia (Gelaran pertama)

Naib Juara: Korea Selatan

Ketiga: Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Keempat: Iraq

Statistik kejohanan

Jumlah pasukan: 16

Jumlah perlawanan: 32

Gol dijaringkan: 85 

Kehadiran: 705,705

Penjaring terbanyak: Ali Mabkhout (UAE - 5 gol)

Pemain terbaik: Massimo Luongo (Australia)

Penjaga gol terbaik: Mathew Ryan (Australia)

Anugerah Fairplay: Australia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 6:46 PM