Pochettino membawa masuk Kane ketika mendahului 6-0 membuatkan peminat Spurs bingung. FOTO REUTERS
Agensi

LONDON: Peminat Tottenham Hotspur bingung apabila pengurus Mauricio Pochettino membawa masuk penyerang Harry Kane ketika pasukan itu sedang mendahului 6-0 menentang Tranmere pada aksi Piala FA Inggeris, awal pagi tadi.

Keputusan itu dianggap pelik kerana seorang lagi penyerang kelab itu, Son Heung Min yang sering bergandingan dengan Kane akan diketepikan bagi mengharungi Piala Asia bersama Korea Selatan, 13 Januari ini.

Penyerang berbisa itu dijangka terlepas lima aksi Liga Perdana dan Piala Liga berikutan tugasan itu dengan kecederaan terhadap Kane bermakna kelab itu hanya boleh bergantung harap kepada Fernando Llorente selepas Vincent Janssen dijangka akan dijual.

Pada perlawanan itu yang dimenang Spurs 7-0, Llorente meledak hatrik dengan Serge Aurier turut menjaringkan dua gol manakala baki jaringan disumbangkan Heung Min dan Kane.

Seorang peminat Spurs, [email protected]halkley menulis dalam Twitter: “Kami perlu mengharungi aksi separuh akhir dalam tempoh empat hari lagi dan membawa masuk Harry Kane ketika mendahului 6-0????? Ini keputusan paling tidak masuk akal dan terburu-buru yang pernah saya lihat.”

Seorang lagi peminat kelab itu, [email protected] berkata: “Saya tidak faham kenapa Harry Kane dimasukkan?

Tottenham dijadual menentang Chelsea pada separuh akhir Piala Liga, Rabu ini dengan seorang peminat kelab itu berjenaka apabila menulis: “Llorente akan direhatkan bagi perlawanan dengan Chelsea” sambil memaparkan gambar sedang kebingungan.

Pochettino begitupun menjelaskan tindakannya selepas perlawanan itu.

“Ia disebabkan rasa hormat. Hormat kepada orang, hormat kepada lawan. Mereka tidak akan mempunyai banyak peluang untuk melihat Harry Kane beraksi di sini dalam pertandingan seperti Piala FA.

“Atas beberapa sebab, saya memutuskan untuk membuat perubahan dan memasukkan Kane. Penting untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang di sini jadi mereka dapat menyaksikan Harry Kane, yang juga ikon bola sepak Inggeris.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 8:51 PM