PSK mengurangkan tunggakan bayaran stadium berjumlah RM836,800 kepada RM100,000.
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mampu menghela nafas lega selepas Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan kerajaan negeri bersetuju mengurangkan tunggakan bayaran stadium berjumlah RM836,800 kepada RM100,000.

Perkara itu disahkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selepas PSK menerusi kerajaan negeri ini hanya mengarahkan KAFA hanya perlu membayar RM100,000 selepas ditolak hutang terdahulu.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Wan Roslan Wan Hamat dan Naib Presiden KAFA Datuk Takiyuddin Hassan, hari ini.

"Jumlah tunggakan hutang dengan PSK selama empat tahun sejak 2014 hingga 2018 saja berjumlah RM836,800 adalah satu jumlah yang sangat tinggi perlu diselesaikan KAFA.

"Namun hasil perbincangan dan rundingan dengan PSK dan kerajaan negeri KAFA hanya perlu menjelaskan RM100,000 saja tunggakan levi bermula musim ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bibi Ramjani mengucapkan terima kasih kepada PSK dan Kerajaan negeri yang banyak membantu persatuan itu.

"Terima kasih diucapkan kepada PSK dan kerajaan negeri atas keprihatinan serta sokongan dalam membantu mengurangkan beban kewangan KAFA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:34 PM