HEUNG Min (kanan) bersama Korea Selatan dalam aksi Piala Asia. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Dele Alli mengakui Tottenham akan merindui Son Heung Min apabila penyerang berbisa itu terpaksa meninggalkan kelab bagi tugasan Piala Asia 2019 bersama Korea Selatan di Emiriah Arab Bersatu.

Heung Min, 26, sudah menjaringkan sembilan gol dalam 10 penampilan terakhir untuk Spurs dengan hanya Harry Kane menjaringkan lebih gol untuk kelab itu dalam kempen Liga Perdana Inggeris.

Sekalipun mengakui ketiadaan Heung Min akan dirasai pasukan itu, Alli menegaskan Tottenham memiliki kemampuan untuk menampung kekosongan itu.

“Ketiadaan Son dalam mana-mana pasukan akan menjadi kehilangan yang besar kerana dia pemain hebat,” kata Alli. “Tapi pada masa sama, kami memiliki pemain yang turut bekerja keras dan bersedia untuk tampil ke depan.

“Dia jelas berada di prestasi yang hebat dan sesuatu yang menyedihkan untuk melihatnya pergi tapi kami perlu terus bergerak ke depan. Lucas (Moura) pemain yang turut menakjubkan, atau sesiapa saja yang pengurus mahu senaraikan.

“Saya fikir dengan melihatnya (Son) berlatih setiap hari, bermain bersamanya dalam perlawanan, anda boleh melihat kualiti yang dimilikinya.

“Dia mempunyai kemampuan menakjubkan dengan kedua-dua kakinya dan dia sudah menjadi ‘mata’ buat kami untuk memburu gol serta mencipta magis.

“Jadi tiada siapa yang terkejut untuk melihatnya berada di prestasi ini kerana dia pemain yang menakjubkan dan memiliki kualiti hebat,” kata pemain kebangsaan England itu.

Heung Min turut meledak gol ketika Spurs membelasah Tranmere Rovers pada pusingan ketiga Piala FA, Jumaat lalu dengan bekas pemain Bayer Leverkusen itu turut mencipta dua umpanan sebelum menang 7-0.

Sepanjang ketiadaannya, Tottenham akan menanti kunjungan Chelsea pada separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu ini dengan perlawanan timbal balik pada 22 Januari depan.

Selain itu, Heung Min turut terlepas aksi penting menentang Manchester United minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:18 PM